Peringkat Pelajaran
Secara umumnya, pelajaran di dalam Silat Seni Gayong dibahagikan kepada tujuh peringkat, iaitu:
Tapak Gayong
Terdiri daripada segala pelajaran asas gerak tangan dan kaki, termasuk juga latihan senaman anak harimau, elakan dan tangkapan kunci mati (21 buah tapak kunci mati) bagi menewaskan lawan tanpa menggunakan senjata.
Seni Tapak Gayong
Lanjutan daripada pelajaran Tapak Gayong. Pada peringkat ini pesilat diajar menghalusi lagi pelajaran bahagian Tapak Gayong supaya pesilat berkemampuan untuk membuat serang balas yang berkesan. Pelajaran pada peringkat ini termasuklah buah tapak kunci hidup (teknik membuka kuncian - 49 buah) di samping berkemampuan untuk mengunci semula lawan. Juga merangkumi pelajaran Pecahan Buah Tapak sebanyak (7x21) buah dan Serangan Maut/Buah Pukulan (21 buah).
Seni Keris
Pelajaran menggunakan senjata tikam seperti keris dan pisau.Mengandungi pelajaran Seni Keris (Keris Satu dan Keris Dua - 49 tikaman), Seni Pisau (Serangan Maut dan Pentas - Pisau Satu dan Pisau Dua)
Seni Simbat
Pelajaran menggunakan senjata belantan dan merupakan asas kepada permainan parang panjang, kapak, tekpi, pedang, sundang lipas, dan lembing. Mengandungi pelajaran Seni Simbat/Tongkat (kunci dan permainan), Seni Simbat Suk/Cota (kunci dan permainan), Seni Tongkat Panjang/Tembung (kunci dan permainan), Seni Parang Panjang (kunci dan permainan - Parang Satu dan Parang Dua), permainan Parang Panjang dan Perisai, permainan Parang Panjang - Rantai, permainan Pisau-Simbat, Seni Tombak/Lembing (kunci dan permainan), Seni Anak Tombak (kunci dan permainan), Seni Parang-Tekpi, Seni Tombak-Tekpi.
Seni Yoi
Pelajaran tangan kosong yang dipenuhi dengan buah pukulan bagi menentang serangan ramai (21 buah pukulan).
Seni Belian
Permainan tapak harimau yang dihiasi dengan amalan kebatinan. Juga dikenali sebagai Serangan Bapak Harimau.
Seni Cindai
Pelajaran yang menggunakan kain sarung dan merupakan pelajaran tertua dalam Silat Seni Gayong. Seni Cindai terbahagi kepada dua jenis permainan iaitu Cindai Jantan dan Cindai Betina.Tujuh pecahan yang terdapat dalam permainan cindai ialah: Sauk-sauk (21 buah), Tebar (21 buah), Serkap (21 buah), Kain Tudung (21 buah), Awang Bodoh (21 buah), Pukat (21 buah), dan Kalung Puteri (21 buah).
Selain daripada mata pelajaran yang disenaraikan di atas, terdapat juga mata pelajaran Seni Gerak Bayang,Gada-gada(sejenis senjata baling), Seni Seligi, Seni Selayang pandang, Seni Serangan Rajawali, Seni Sundang Lipas, Mayang Gesit, Serbuk Beracun, Senjata Api (jarak dekat) seperti untuk menghadapi musuh bersenjata pistol dan senapang banet dan permainan-permainan lain lagi.
Pendek kata, di dalam Silat Seni Gayong terhimpun semua pelajaran silat yang terdapat di alam Melayu ini. Bak kata serangkap pantun Gayong:
Seni Gayong Payung Pusaka
Naungan Aneka Hikmat Mulia
Rahsia Tersimpan Di Purbakala
Ilham Menyusun Zahir Semula
Tahap pencapaian pelatih diperlihatkan daripada bengkung yang diperoleh. Setiap bengkung yang diperoleh merupakan petunjuk kepada pencapaian jenis-jenis kemahiran.